Press Room

e-Paper Utusan Malaysia pilihan pertama Malaysia Airlines

Sepang, 11 April 2013: Akhbar Digital Utusan Malaysia (e-Paper) menjadi pilihan pertama Malaysia Airlines (MAS) apabila buat julung kalinya syarikat penerbangan itu menyediakan perkhidmatan akhbar digital kepada para penumpangnya mulai April 2013.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Pengarah Khidmat Pelanggan, Malaysia Airlines, Dato’ Mohd Salleh Ahmad Tabrani disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Datuk Othman Mohamad di Malaysia Airlines Golden Lounge pagi ini.

Melalui perkhidmatan e-Paper Utusan ini, para penumpang bukan sahaja boleh mengakses e-Paper Utusan melalui komputer dan tablet yang disediakan di Golden Lounge Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kuching, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang malah ianya boleh dimuat turun secara percuma ke tablet atau iPad masing-masing. Penumpang hanya perlu mendapatkan ID Pengguna dan Kata Laluan di Golden Lounge atau di Pintu Berlepas untuk memuat turun e-Paper Utusan. Kini penumpang boleh membaca akhbar Utusan Malaysia di mana-mana sahaja termasuk di dalam kapal terbang dengan menggunakan tablet.

Melalui jalinan dua hala ini, langganan e-Paper di Malaysia Airlines merupakan projek perintis Utusan dalam menyediakan produk akhbar digital kepada pelanggan korporat dengan jumlah langganan terbesar dan sistem yang khusus.

Selain menyediakan perkhidmatan e-Paper kepada para penumpang, MAS turut membuka langganan kepada para petugasnya dengan diskaun istimewa bagi langganan setahun.

Setakat ini hampir 5,000 pelanggan yang terdiri daripada individu dan korporat telah melanggan e-Paper Utusan sejak ia dilancarkan pada November tahun lalu.

Turut hadir menyaksikan upacara pelancaran ini ialah para pegawai kanan Utusan Melayu serta Malaysia Airlines.

Pada majlis yang sama, MAS turut memperkenalkan minuman khas bernama "Ruby Passion" kepada para tetamu.  Minuman teh berperisa jus limau kasturi dan rempah tropikal  ini akan mula dihidangkan kepada penumpang Kelas Pertama dan Perniagaan di kapal gergasi MAS A380 bermula 15 April 2013.

file



file